"Aku masih mencari Dia, dalam pencarian diriku,
Aku mahu mengenali Dia, dalam manifestasi cintaku.
Aku paksikan rindukan Dia, sebagai bukti Dia syurgaku.
Pada Dia Yang Satu, hidupku matiku hanya untukMu".
-LayyinulQalbie-

Thursday, December 30, 2010

YA ALLAH, AKU JATUH CINTA!



"Isya..."
 Isya memalingkan wajahnya ke arahku.
"Ya...ada apa, Ira?"
"Saja.." tuturku tergantung di situ. Malu.
" Loh...cakaplah..."
"Ira rasa Ira dah jatuh cinta pada seseorang,"
Aku lihat mata Isya sedikit terbeliak.
"Wah..biar betik, orang yang susah jatuh cinta macam Ira ni dah pandai dah ya! Siapa? Cakaplah..budak fac (fakulti) kita ke?,"
Aku menggeleng perlahan. Membiarkan Isya tertunggu jawapannya.
Ya, muka Isya kulihat penuh dengan tanda tanya. 
Pantas jemariku membuka tetingkap mozilla firefox di lappy, mencari Google image.
"Ira jatuh cinta dengan dia....," aku 'perlihatkan gambar orang tersebut kepada Isya..
Isya tergelak terbahak-bahak. 

 Aku menjeling Isya. Sampai hati..kecik hati tau!
"Pak Arab mana pulak yang kau jatuh cinta ni? Lawak la Ira ni.. Eh, Isya nak bersiap nih, karang lambat pulak nak keluar,"

"Ye la... tak percaya sudah," aku separuh berbisik.
Aku memandang raut wajah dia kembali di skrin lappy. Tenang, damai sekali.

Bagaimana aku tidak jatuh cinta andai mendengar alunan bacaannya bisa buat air mataku menitis,
Bagaimana aku tidak jatuh cinta, andai nyanyian kalamnya bisa mengubat hati resah mahupun sedih, 
Bagaimana aku tidak jatuh cinta, andai dia mampu buat aku berasakan  Quran denganku kini dekat sekali...

Pada orang lain, mungkinlah biasa.. tapi padaku tersangat luar biasa andai sekiranya halwa telinga yang agak kurang 'mencintai' alunan Kalamullah, kini berubah total dengan kehendak Allah melalui dirinya... Subhanallah!
Cuba per'hati'kan......




'Perkenalanku' dengan dia

Namanya Misyari Ar Rasyid. Sedap kan? Syeikh Misyari Rashid Al-Afasy, anak kelahiran Kuwait. 
Siapa dia? 
Dia adalah merupakan qari yang terkenal di dunia.
Tapi malangnya ... =( ..dia (beliau adalah lebih tepat untuknya) telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak.huhu..
 (Memang aku tak layak untuknya, bagai angkasa lepas dengan bumi!)
Syeikh Misyari merupakan pakar dalam 10 jenis bacaan dan juga penterjemah al-Quran. Selalu muncul di media dan mempunyai minat yang mendalam dalam ilmu al-Quran. Punyai ramai peminat di dunia kerana pembacaan ayat al-Qurannya amat baik,dan menyentuh hati.Beliau mendapat pendidikan di Universiti Islam Madinah, Kolej al-Quran & Pengajian Islam. Beliau belajar al-Quran melalui Syeikh Ahmad Abdul Aziz Al-Zaiat, Syeikh Muhammad Sadiq Al-Minshawi, Syeikh Mustafa Ismail dan Syeikh Abdul Basit Abdul Samad. Dan beliau juga mempunyai album nasyid, yang menyebabkan anda 'cair' dengan ayat-ayat yang mengajak kepada Allah.

Sangat syahdu, membelai jiwa, yang mampu membeli jiwaku saat terasa jauh dari Tuhan.


'Pertemuan'ku dengannya merubah segalanya. kecintaanku pada Avril Lavigne, Mandy Moore (suatu ketika dulu) telah berubah, ke arah mencintainya... ya, mencintai orang-orang soleh sepertinya..., mencintai orang -orang yang berjuang di atas jalanNya, yang mencintai Allah dan Rasul... dan yang lebih penting, membawa kepada Kalamullah, bait-bait Tuhan yang bukan seharusnya sahaja dihayati keindahannya, namun untuk diamalkan sebagai cara hidup... mungkin aku terlalu lagi jauh kan, tapi..InsyaAllah, InsyaAllah pasti kucuba, kerana aku mahu berada dengan insan yang kucinta.. maksudku bukan saja 'dia' tetapi bersama-sama orang-orang soleh, para tabi'in,sahabat, dan sudah semestinya kekasih terpuji Illahi.

Sabda Rasulullah;“Apa pun yang paling kauperhatikan akan menentukan apa yang akan terjadi padamu saat kebangkitan. Di akhirat, kalian akan bersama dengan apa dan siapa pun yang kalian cintai.”

~dan aku mahu terus 'bercinta' dalam alunan AYAT-AYAT CINTA dari TUHAN... bersama 'dia' yang kucinta,

Perkongsian santai 
Selembut Hatiku, Hamba Allah yang hina.




Monday, December 27, 2010

BICARA HATI: SEORANG AKU

Ingin aku berlari ke awan,
Merasa angin itu lepas bebas menerpa,
Datangnya ia, membawa pergi kekusutan di jiwa,
Agar terungkai segala simpulan siksa..
Ingin aku terbangkan ia,
Membiarkan apa di tanganku terlempar jauh,
Jauh menghilang di mata.
Namun, apa aku bisa?
Sedangkan di tanganku amanah,
Di hatiku Islam,
Di mataku ibu dan bapa,
Di kiri kananku ummah,
Yang menuntutku terus berusaha.
Lantas, kucari iman, di mana ia?
Kucari sabar, hadirlah kupinta,
Kucari istiqamah, kunjunglah tiba,
Agar aku bisa bangun, dan terus berlari ke angkasa,
bersama segala yang ada,
Demi Allah, demi Islam serta ummahnya..

3.OOpm… a day before exam.

Saturday, December 18, 2010

DIA MATAHARI


 ~dedikasi cinta untuk ibu tercinta~

Tidurnya belum lena. Matanya dipejam membayangkan saat-saat indah, agar dapat menghapus duka di jiwa. Nur sedar di sudut kepala katilnya, seseorang sedang leka menilik raut wajahnya. Desir nafas itu dapat dirasa hampir dengannya. Tubuh yang lemah itu, betul-betul menghadap belakang tubuhnya yang mengiring. Rambutnya yang mengurai di bantal  diusap-usap.
“Ibu tahu anak ibu kuat semangat, takkan sama sekali mengalah. Demi mengejar cita-citamu sayang,ibu tetap akan redha. Pergilah esok, buat betul-betul periksa ulangan tu...Doa ibu sentiasa bersama dengan Nur. Nur, ibu tahu bukan ini yang kita pinta, tapi kita kena redha, sayang.Nur gagal bukan kehendak kita, pasti Allah dah takdirkan sesuatu yang terbaik buat Nur,”

Tangis ibu tanpa dapat menyudahkan kata. Dia sedar ibu sedaya upaya tahan. Tatkala itu matanya yang pura-pura pejam juga berair, dan titis jernih itu mula meluncur membasahi bantal di hujung matanya.
Ibu, Nur faham apa yang ibu mahu katakan. Ibu, ibu tak perlu kasihankan Nur. Nur sedih sekejap saja hari ni. Ibu tak perlu menangis sebab Nur. Nur  tak mahu sekali tengok ibu sedih lagi...lebih-lebih lagi kerana Nur,bu. Desis hatinya yang kian basah dengan kepiluan.
Dipalingkan badannya menghadap wajah ibu. Dipegang tangan ibunya, dan diciumnya berkali-kali.
“Maafkan Nur, ibu... Nur tak mampu membanggakan ibu... Maafkan Nur sebab gagal dalam peperiksaan yang lalu...maafkan Nur,” berkali-kali perkataan maaf keluar dari bibir sambil tangan ibu dikucupnya.
“Nur tak salah, langsung tak salah..Ibu tahu Nur anak yang baik, Nur sentiasa buat yang terbaik untuk ibu dan keluarga kita. Sebaliknya, ibu minta maaf Nur, Nur dah terlalu banyak berkorban untuk keluarga, pada ibu, pada adik-adik. Dalam usia muda lagi, Nur terpaksa memikul tanggungjawab besar. Kali ini, ibu minta sangat-sangat pada Nur, Nur jangan terlalu fikirkan lagi pasal duit, pasal keluarga kita. Ibu masih ada duit lebih yang ibu simpan, Nur pergilah. Ini pertama kali Nur jatuh. Nur harus bangun berusaha, sebab hanya orang yang bodoh saja, yang jatuh sekali dan takkan bangkit lagi. Dan anak ibu tak macam tu kan? “
Dia menggeleng kepala. Pelukan ibu yang semakin erat membuatnya sayu, seolah-olah dia bagai anak kecil yang baru saja terjatuh, lantas ibunya memeluk dan membangunkan kembali. Itulah ibu. Ibu yang selalu membakar semangat dalam jiwanya. Ibu, wanita yang paling kuat, paling tabah yang pernah dia kenal. Sungguh ya Allah, dia bersyukur miliki ibu yang sebaik dan setabah dirinya.
************************************************************************************
Dada telekungnya basah. Pandangan matanya masih kabur dengan air mata. Peristiwa semalam seolah-olah berputar kembali dalam ingatan. Tengahari yang cerah mulai kelam saat  diamati berkali-kali isi lembaran surat bercop universiti yang diterimanya tadi. Antara percaya atau tidak, dia terpana. Dalam sejarah hidupnya, perkataan ‘GAGAL’ ini pertama kali muncul tertulis untuknya.
“ Ya Allah, ampunkan aku ya Allah...sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri. Sesungguhnya aku hanya hambaMu yang lemah, dan tiada apa yang kumahukan melainkan kekuatan untuk menempuh ujian ini”. Desis hati saat mulutku terkumat-kamit beristighfar berulang-ulang kali. Dia bangkit ingin meneruskan solat sunat sesudah selesai solat Zuhur.
Bacaan dalam solatnya diiringi syahdu tangisan, tanpa dapat ditahannya. Malah, mutiara jernih itu kian meluru laju, jatuh membasahi pipi gebunya.
“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk,”ayat yang dihafalnya itu bagaikan sedang berbicara padanya, saat hatinya itu masih menyalahkan takdir. Dipujuk hatinya yang lemah itu untuk beristighfar, dalam tangis yang masih belum jua redha.
Tok!Tok!Tok! Ketukan pintu yang agak kuat itu menyebabkan zikirnya terhenti. Dia amat jelas dengan si pengetuk pintu itu. Alif, adik lelaki tirinya yang berumur 17 tahun itu, memang mempunyai tabiat mengetuk pintu dengan sekuatnya.
“Kak Nur, boleh Alif nak cakap,sebentar?”
“Boleh.sekejap!’ Jeritnya, menandakan dia belum bersedia membuka pintu. Nur lekas menanggalkan telekung dan mencapai jilbab hitam Arini yang sering dipakainya di rumah. Daun pintu segera ditarik dan pintu terkuak. Alif tegak berdiri di muka pintu, dan Nur diajak ke ruang tamu. Sungguh dia kagumi Alif, yang sangat menghormatinya sebagai kakak tirinya. Keputusan arwah ayah tirinya menghantar Aliff belajar di maahad tahfiz memang tepat untuknya. Dia kini seorang yang lelaki yang kelihatan benar-benar menghayati agama. Syukur, Alhamdulillah!
“Mata Kak Nur merah..” perlahan Aliff bersuara sambil membetulkan duduknya. Mata Alif masih tepat memandang wajahnya. Nur tertunduk, rasa malu menebal. “Alif faham apa yang kak Nur rasa, Aliff  tahu apa yang terbuku di hati Kak Nur. Kegagalan adalah satu situasi terburuk bagi orang yang selalu cemerlang. Malu berhadapan dengan orang sekeliling, dan tertekan. Tapi, Alif percaya Kak Nur Aliff ni lagi kuat semangat dari Aliff bila berdepan dengan ujian. Keluarga kita selalu diuji oleh Allah dengan pelbagai dugaan tapi, Aliff kagum, Kak Nur tak pernah mengeluh. Kak Nur banyak mewarisi sabar ibu, Aliff percaya kak Nur kuat. Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya, Kak Nur. Allah sedang berbicara melalui ujian yang Kak Nur tempuh. Allah berfirman,janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.Boleh jadi kak Nur membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi Kak Nur.Allah mengetahui sedang kita tidak mengetahuinya, kak,”
Seketika dia terkesima dengan kata-kata Aliff sebentar tadi. Penuh makna dan menusuk qalbu. “Ampunkah ya Rahman, apa aku tergolong dalam orang yang tidak redha dan mensyukuri apa yang kau beri...Ampuni aku,”
“ Terima kasih Liff, akak bertuah miliki adik macam Aliff. Semoga Allah merahmatimu selalu, adikku,”
Sisa-sisa air mata dilap perlahan-lahan. Senyuman diukir tanda dia redha, dan saat itu air mata mula kering perlahan-lahan, tanpa meminta dirembes lagi.
“Memang benar, Allah sedang ingin menguji dan sekaligus mengajarku. Aku harus jadi setabah ibu,” Yang pasti, dia takkan menangis lagi di depan ibu. Tak mahu rasanya lagi dia melihat ibu menangis kerananya.
“Ibu mana Liff?”
“Kat bilik Abang Hafez. Tengah suap bubur agaknya,”
 Adik kandungnya, Hafez, berusia 16 tahun, mengalami kecacatan otak sejak lahir yang menyebabkan dia sukar menggerakkan anggota badan dan hanya mampu terbaring.Dalam istilah perubatan yang dipelajarinya kini, keadaan Hafez dipanggil Cerebral Palsy. Kerap juga Hafez dimasukkan ke hospital, kerana senang menghidap demam dan jangkitan pernafasan. Ibulah yang menjaganya sejak kecil lagi. Hari-hari ibu memandikan, menyuap nasi, mengangkat dan membaringkan Hafez. Dia cuba membayangkan, selama dua puluh tahun ibu melakukan kerja yang sama pada setiap hari. Sungguh, ibu tidak pernah mengeluh. Tidak pernah mengadu penat dalam menjaga anaknya yang kurang upaya itu. Terdetik di hatinya, belum pernah ditemui insan semulia ibu. Saat Kelahiran Hafez benar-benar menguji ibu. Dia masih ingat, betapa sabarnya ibu menerima takdir saat ditinggalkan ayah. Ya, ayahnya meninggalkan mereka kerana tidak dapat menerima hakikat kelahiran anak cacat seperti Hafez. Ibu selepas itu bekerja demi membesarkan dia dan adiknya. Perit jerih ibunya itu benar-benar dirasa, sehinggalah ibu berkahwin dengan arwah ayah tirinya, seorang duda iaitu ayah kepada Aliff, Aliyah dan Aisya.
 Bunyi derapan papan usang tangga rumahnya menghentikan lamunan fikirnya. Aisya, adiknya yang bongsu yang berusia 6 tahun muncul dengan wajah yang suram. Aliff mula bergerak ke tangga, seperti biasa, mahu menyakat adiknya.
“ Aik, takde salam, takde apa terus masuk... buat la macam tu nanti setan ikut sekali dengan dia,”
“Ala abang ni...”. Aliff ketawa terkekek-kekek.
Aisya mendekati ibu saat ibu keluar dari kamar Hafez. Bagai ada sesuatu yang ingin diberitahunya. Ibu hanya tersenyum melihatnya.
“ Kenapa monyok ni sayang?,”ibu cuba menyelongkar kerisauan adik bongsunya yang manja itu. Nur hanya memerhatikan sahaja gaya manja Aisya memeluk ibu.
“Ibu, esok Aisya ta nak lagi pergi belajar kat tadika... tadi kan, semua orang ejek Aisya beg Aisya koyak,buruk, ...Ramai tak nak kawan dengan Aisya,”
Ibu menggeleng kepala dan senyum. “Aisya ingat tak cerita yang ibu ceritakan dua hari lepas pada Aisya?”
“Pasal Rasulullah ye?,”
“Hmm... pandai. Aisya ingat kan masa Rasulullah diejek, dibaling batu, sebab orang tak suka dia sebarkan Islam, Rasulullah sabar saja, dan menyebarkan Islam juga selepas itu, dan Allah berikan kejayaan akhirnya pada umat Islam. Sekarang ni, ada tak orang baling batu bila Aisya pegi sekolah?,”
Aisya menggelengkan kepala.
“Sebab itu Aisya tak perlu sedih, mengalah, dan taknak pergi sekolah .Sabarlah Aisya, orang Islam kena kuat, kena sabar, baru Allah sayang, dan Aisya pergi tadika sebab nak berjaya juga kan. Esok pergi tadika ya. Nanti, kalau ujian Aisya nanti dapat nombor satu, ibu beli beg baru untuk Aisya ya ,”
“Nak..Nak.. terima kasih ibu..,”
“Dah..dah pergi mandi, pastu nak ngaji pulak,”
Aisya berlalu pergi. Saat terdengar perbualan ibu bersama adiknya tadi, air matanya hampir menitis. Ibu selalu menenangkan kami melalui kisah-kisah teladan yang ibu tahu. Begitulah ibu, walau ilmunya tidaklah tinggi, ibu bijak membelai emosi.Tanpa dia sedar, nasihat ibu pada Aisya tadi sebenarnya membekas pada dirinya sendiri.
“Ya Allah, sedangkan kekasihMu Rasulullah begitu hebat diuji.. apakah terlalu lekas untuk aku menangis mengutuk diri kerana ujian yang sedikit cuma ini? Ibu malah lebih hebat diuji dariku, nyatanya aku masih belum setabah ibu. Oleh itu, jiwa yang bernama Nur Humaira, bangkitlah dan berusaha!”
*************************************************************************************
Jauh dilemparkan pandangannya ke luar tingkap, sambil fikirannya masih memikirkan strategi. Ya, strategi, agar dia tidak ulangi kegagalan lagi. Tiada alasan untuk dirinya gagal saat dirinya hanya menanggung sedikit beban tugas arwah ayah tirinya, getus hatinya. Salah dirinya sendiri mengabaikan sedikit pelajaran kerana memfokuskan pada jualan tudung. Sejujurnya perniagaannya kian mendapat permintaan rakan-rakan memandangkan tudung kujual jauh lebih murah berbanding di pasaran. Ditambah pula jualan yang kubuat sambilan di internet, sememangnya benar-benar menguntungkan. Pernah rakannya, Asyikin menegurnya, sama ada dia mahu menjadi doctor atau businesswoman, tetapi pada kotak fikirannya cuma tentang satu, membantu mengurangkan beban ibu.
“Ibu jangan risau sangat, duit biasiswa Nur banyak lagi. Tambah pula Nur ada jual tudung sikit-sikit kan,.. cukup untuk belanja Nur bulan-bulan,”itulah yang sering dia katakan, cuba meyakinkan ibu untuk menerima wang daripadanya. Nur tahu, ibu terasa berat menerima, kerana dia masih lagi belajar. Biasiswa yang diterima sememangnya banyak untuk dirinya, kerana buku-buku perubatan sememangnya mahal. Tetapi,untuk masa sekarang, kesempitan ibu dan adik-adik harus diutamakan, dan dia pula meminjam atau hanya fotostat sahaja buku dari rakan-rakan.
Sejak kehilangan arwah ayah, seorang pengusaha padi disebabkan kemalangan jalan raya tahun lalu, keluarganya benar-benar dirundung kesempitan. Dengan keadaan ibu yang tidak bekerja,  ditambah sering lelah disebabkan asma, ibu hanya mampu duduk di rumah, kini mengambil tempahan kuih dan jahitan tangan yang  dia kira tidak seberapa jika dibandingkan dengan keperluan persekolahan adik-adik dan perubatan Hafez. Hafez kerap dimasukkan ke hospital, kerana senang menghidap demam dan jangkitan pernafasan. Biayaan perubatan sememangnya ditanggung oleh kerajaan kerana Hafez juga memiilki kad OKU. Namun, perbelanjaan terapi, dan teksi ulang alik, kadangkala memakan jumlah wang yang banyak. Belanja persekolahan Aliyah dan Aliff, adik-adik tirinya di sekolah menengah dikira tidak cukup walaupun dengan wang bantuan dari pihak sekolah. Ditambah pula dengan Aisyah, adik Nur yang bongsu kini sudah memasuki alam persekolahan. Dia tahu, ibu dalam keadaan yang sangat terbeban.
Pernah Nur suarakan pada ibunya, untuk berhenti belajar namun dibantah keras. Lalu, sebagai jalan keluar demi membantu ibu, dia telah mengusahakan jualan tudung di samping meneruskan pelajaran. Ibu mahu benar dia menjadi seorang doctor, berbakti pada masyarakat, keluarga dan agama.
“ Ibu akan tunggu Nur rawat Hafez, rawat ibu. Sebab tu ibu nak Nur jadi doctor,” . Dia hanya tersenyum memandang ibu. Besar sungguh harapan ibu padanya. Ibu memang mempunyai asma sejak dulu, tetapi tidak terlalu teruk. Selalunya, Aliff akan menemaninya ke hospital untuk follow up disebabkan Nur selalu berjauhan di universiti.
“Insyaallah bu, ibu tunggu Nur ye,”.
Teringat dengan setiap bait kata-kata ibu, hatinya seolah-olah dipenuhi semangat baru yang berkobar-kobar. Bagaikan bateri dicas semula, dia berjanji menebus kegagalannya!
“Ibu, anak ibu takkan pernah mengalah dengan ujian bu, Nur akan belajar bersungguh-sungguh, Nur janji,”
************************************************************************************
Hari ini hari penuh rasa bahagia, sehinggakan dirasakan matahari juga turut senyum padanya.
“Bagi penerima anugerah diraja 2010, diumumkan Nur Humaira binti Hussein, dari Fakulti Perubatan. Penerima telah mencapai tahap cemerlang atau ‘distinction’ di dalam dua subjek utama, iaitu Medicine dan Obstetric & Gynaecology. Selain itu, beliau juga...,”Biodata peribadinya mula bergema didengar seluruh dewan.
Serta merta air matanya mengalir keluar. Hari ini ibu datang melihat hari kegemilangannya, iaitu Hari Konvokesyen yang bersejarah untuknya. Nur tahu ibunya tidak sihat, tetapi digagahkan jua untuk datang untuk menyaksikan hari penuh makna untuknya. Aisya, dan Aliyah tidak dapat datang memandangkan mereka bersekolah. Jadi, cuma Ibu dan Aliff yang datang. Dipandang muka ibu yang berada di barisan hadapan bersama Aliff.
“Ibu, ini hadiah Nur untuk ibu,..ibu. Ibu pandanglah Nur, bu,”.
Ibu masih tidak memandangnya.Dilihat ibunya kelihatan tertidur.
Ibu kenapa ibu tidur, bangunlah bu.Desis hatinya. Langkahnya yang perlahan menuju naik ke pentas kini terhenti di tengah jalan. Matanya benar-benar tertancap pada wajah ibunya. Kelihatan raut wajah Aliff benar-benar panik. Ibu terkulai layu di kerusi, dan akhirnya tersungkur di pelukan Aliff....
“Ibu!!!,” Jeritnya sekuat hati tanpa menghiraukan keadaan. Langkahannya bukan lagi menuju menerima gulungan ijazah yang sedang menunggu. Tetapi, kepada ibu yang tercinta. Suasana jadi hingar-bingar. Laju dia berlari ke arah Aliff dan ibu. Dakapan eratnya pada ibu seolah-olah tidak dapat dilepaskan. Yang pasti, tiada lagi denyutan nadi atau nafas lagi. Tiada lagi!
Innalillahi wainna ilaihi ro ji’un...
*************************************************************************************
Perlahan kaki mereka melangkah pergi. Semakin jauh meninggalkan pusara ibu tercinta, semakin hati kian sebak. Hari ini Hafez yang tidak pernah tahu apa-apa juga menangis syahdu akan kepergian ibu. Aliyah dan Aisya, dilihatnya masih menangis tanpa henti, kehilangan ibu kedua mereka.
“Adik-adikku, usahlah kau ratapi pemergian ibu. Sesungguhnya kakakmu ini insan yang paling sedih. Ibu meninggal tanpa sempat melihat kakakmu ini berbakti padanya. Ibu pergi tanpa kakak tahu ibu sudah lama lelah menghidap lemah jantung. Ibu pergi tanpa kakakmu ini sempat merawatnya,”
 Kata-kata Aliff benar-benar membuatkan hatinya hiba. Sejak akhir-akhir ini, ibu sering mengalami lelah dan semput. Bila dipujuk ke hospital, ibu menolak dan katanya dia masih sihat. Ibu sentiasa mahu menunggunya habis belajar, dan ingin mendapat rawatan dari anaknya sendiri. Ibu menunggu saat anaknya ini bergelar seorang doktor!
“Bukankah aku yang harus lebih bersedih adik-adikku,”Hati Nur Humaira hanya mampu merintih sendirian. Tidak mahu dizahirkan lagi rasa sedihnya. Telah menjadi suratan takdir Allah, ibunya pergi sebelum dia mencurahkan bakti.
Dari ibu, terlalu banyak dia pelajari erti sabar dan semangat. Bukankah ibu telah meninggalkan ‘mutiara sabar’ itu padanya? Ya Allah, sesungguhnya Engkau menjadi saksi, dia ibu yang mulia yang penuh dengan kesabaran. Rahmati dan tempatkanlah dia di kalangan mereka yang soleh solehah!Ameen,”

Ibu,
Sesungguhnya sinar ibu takkan pernah sirna,
Memancar cahaya cinta selamanya utk kami semua,
Walau terpisah dek jarak tak terkesampaian,
Tetapi mampu membenihkan semangat  di jiwa yang luka.

Ibu,
Cahayamu gah sekali,
Ibarat tiada lelah, agar kami teladani,
Engkaulah  sumber kehidupan kami,
Kerana kau matahari.

Dedikasi untuk ibu tercinta, dari anakmu,
Dr Nur Humaira

Tuesday, December 7, 2010

WARKAH HIJRAH:DIRIMU YANG SEPERTI DIRIKU


Tatkala aku mencoret nukilan ini,
Pintaku pada ArRahman, diampunkan segala penyakit hati,
Dan atas segala kekhilafan diri.
Di saat Allah masih mengizinkan udara memenuhi nafas,
Badan mengandung nyawa, dan lisan untuk melafaz,
Aku memilih menutur bicara menerusi warkah cinta untuk makhluk indah dicipta Tuhan,
Dari Hawa untuk Hawa, iaitu kamu yang seperti diriku.

Kamu yang seperti diriku,
Tidak kunafi, kamu cantik,
Lakaran terindah ciptaan Tuhan,
Menawan dan memikat hati sesiapa yang memandang,
Terutama pada pandangan mata sang Adam.
Namun, tika mata mereka tertegun dengan lenggok tubuhmu yang terdedah,
Lalu rambutmu menghias mimpi-mimpi mereka,
Hatiku terselubung rasa hiba,
Kerana rasa sayang dan cinta,
Bukan kerana daku cemburu,
Tetapi antara kitalah ramai ke neraka,
Yang aku pasti tak terjangkau seksanya,
Yang sudah pasti berjuta kali ganda panasnya,
Dibanding dengan marak api di dunia.

Kamu yang seperti diriku,
Aku pernah di tempatmu,
Detik ketika aku bebas berpakaian, dan berteman,
Bahagia dengan hiburan dan pujian,
Bangga mempamer perhiasan,
Padahal yang sebenarnya ia milik Tuhan.
Aku tahu tentang aurat, dosa, dan pahala,
Namun dalam kamus duniaku ia tiada mengandung makna.
Bukanlah aku tidak fahami tentangnya,
Namun seakan mahu tidak memahaminya,
Kerana itu pilihanku..

Tuhan ternyata sayang,
Mahu aku pulang, melalui satu peringatan,
Bahawa KekasihNya menangis, wahai kamu yang seperti diriku..
Rasulullah yang kasihkan umatnya itu menangis…
Kerana diperlihatkan segolongan dari kita menanggung dahsyatnya azab di akhirat sana..

Segolongan antara kita ada yang tergantung rambutnya dan otaknya menggelegak,kerana tidak menutup rambut,
tergantung lidahnya kerana memaki dan menyakiti hati suaminya,
memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka,
kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar kerana mengumpat dan mendusta,
 berupa seperti anjing kerana membuat fitnah dan membenci suaminya,
dan banyak lagi, yang tidak mampu kuteruskan bacaan kerana gentarnya diriku wahai dirimu..
Nauzubillahi min zalik,Aku memohon dari perkara sebegitu berlaku ke atas kita..

Wahai dirimu yang seperti diriku,
Apakah kamu tidak gentar seperti diriku?
Tentang pembalasannya yang tak tertanggung
Sedangkan pintu kebaikan mampu kita cari,
Kerana janjinya,Allah memudahkan kita ke syurga…

Wahai dirimu yang seperti diriku,
Dan kini, aku tahu dan kamu tahu,
Istighfarlah..
Lalu jangan didustakan lagi tentang apa yang kamu kini tahu,
Buanglah sejauhnya segala jahiliah diri,
Kembalilah dengan satu  hati yang suci,
Tanda hijrah hamba yang sejati.


Dari,
DIRIKU, insan lemah yang mencintai DIRIMU..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KITA SEHATi

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes