"Aku masih mencari Dia, dalam pencarian diriku,
Aku mahu mengenali Dia, dalam manifestasi cintaku.
Aku paksikan rindukan Dia, sebagai bukti Dia syurgaku.
Pada Dia Yang Satu, hidupku matiku hanya untukMu".
-LayyinulQalbie-

Saturday, December 18, 2010

DIA MATAHARI


 ~dedikasi cinta untuk ibu tercinta~

Tidurnya belum lena. Matanya dipejam membayangkan saat-saat indah, agar dapat menghapus duka di jiwa. Nur sedar di sudut kepala katilnya, seseorang sedang leka menilik raut wajahnya. Desir nafas itu dapat dirasa hampir dengannya. Tubuh yang lemah itu, betul-betul menghadap belakang tubuhnya yang mengiring. Rambutnya yang mengurai di bantal  diusap-usap.
“Ibu tahu anak ibu kuat semangat, takkan sama sekali mengalah. Demi mengejar cita-citamu sayang,ibu tetap akan redha. Pergilah esok, buat betul-betul periksa ulangan tu...Doa ibu sentiasa bersama dengan Nur. Nur, ibu tahu bukan ini yang kita pinta, tapi kita kena redha, sayang.Nur gagal bukan kehendak kita, pasti Allah dah takdirkan sesuatu yang terbaik buat Nur,”

Tangis ibu tanpa dapat menyudahkan kata. Dia sedar ibu sedaya upaya tahan. Tatkala itu matanya yang pura-pura pejam juga berair, dan titis jernih itu mula meluncur membasahi bantal di hujung matanya.
Ibu, Nur faham apa yang ibu mahu katakan. Ibu, ibu tak perlu kasihankan Nur. Nur sedih sekejap saja hari ni. Ibu tak perlu menangis sebab Nur. Nur  tak mahu sekali tengok ibu sedih lagi...lebih-lebih lagi kerana Nur,bu. Desis hatinya yang kian basah dengan kepiluan.
Dipalingkan badannya menghadap wajah ibu. Dipegang tangan ibunya, dan diciumnya berkali-kali.
“Maafkan Nur, ibu... Nur tak mampu membanggakan ibu... Maafkan Nur sebab gagal dalam peperiksaan yang lalu...maafkan Nur,” berkali-kali perkataan maaf keluar dari bibir sambil tangan ibu dikucupnya.
“Nur tak salah, langsung tak salah..Ibu tahu Nur anak yang baik, Nur sentiasa buat yang terbaik untuk ibu dan keluarga kita. Sebaliknya, ibu minta maaf Nur, Nur dah terlalu banyak berkorban untuk keluarga, pada ibu, pada adik-adik. Dalam usia muda lagi, Nur terpaksa memikul tanggungjawab besar. Kali ini, ibu minta sangat-sangat pada Nur, Nur jangan terlalu fikirkan lagi pasal duit, pasal keluarga kita. Ibu masih ada duit lebih yang ibu simpan, Nur pergilah. Ini pertama kali Nur jatuh. Nur harus bangun berusaha, sebab hanya orang yang bodoh saja, yang jatuh sekali dan takkan bangkit lagi. Dan anak ibu tak macam tu kan? “
Dia menggeleng kepala. Pelukan ibu yang semakin erat membuatnya sayu, seolah-olah dia bagai anak kecil yang baru saja terjatuh, lantas ibunya memeluk dan membangunkan kembali. Itulah ibu. Ibu yang selalu membakar semangat dalam jiwanya. Ibu, wanita yang paling kuat, paling tabah yang pernah dia kenal. Sungguh ya Allah, dia bersyukur miliki ibu yang sebaik dan setabah dirinya.
************************************************************************************
Dada telekungnya basah. Pandangan matanya masih kabur dengan air mata. Peristiwa semalam seolah-olah berputar kembali dalam ingatan. Tengahari yang cerah mulai kelam saat  diamati berkali-kali isi lembaran surat bercop universiti yang diterimanya tadi. Antara percaya atau tidak, dia terpana. Dalam sejarah hidupnya, perkataan ‘GAGAL’ ini pertama kali muncul tertulis untuknya.
“ Ya Allah, ampunkan aku ya Allah...sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri. Sesungguhnya aku hanya hambaMu yang lemah, dan tiada apa yang kumahukan melainkan kekuatan untuk menempuh ujian ini”. Desis hati saat mulutku terkumat-kamit beristighfar berulang-ulang kali. Dia bangkit ingin meneruskan solat sunat sesudah selesai solat Zuhur.
Bacaan dalam solatnya diiringi syahdu tangisan, tanpa dapat ditahannya. Malah, mutiara jernih itu kian meluru laju, jatuh membasahi pipi gebunya.
“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk,”ayat yang dihafalnya itu bagaikan sedang berbicara padanya, saat hatinya itu masih menyalahkan takdir. Dipujuk hatinya yang lemah itu untuk beristighfar, dalam tangis yang masih belum jua redha.
Tok!Tok!Tok! Ketukan pintu yang agak kuat itu menyebabkan zikirnya terhenti. Dia amat jelas dengan si pengetuk pintu itu. Alif, adik lelaki tirinya yang berumur 17 tahun itu, memang mempunyai tabiat mengetuk pintu dengan sekuatnya.
“Kak Nur, boleh Alif nak cakap,sebentar?”
“Boleh.sekejap!’ Jeritnya, menandakan dia belum bersedia membuka pintu. Nur lekas menanggalkan telekung dan mencapai jilbab hitam Arini yang sering dipakainya di rumah. Daun pintu segera ditarik dan pintu terkuak. Alif tegak berdiri di muka pintu, dan Nur diajak ke ruang tamu. Sungguh dia kagumi Alif, yang sangat menghormatinya sebagai kakak tirinya. Keputusan arwah ayah tirinya menghantar Aliff belajar di maahad tahfiz memang tepat untuknya. Dia kini seorang yang lelaki yang kelihatan benar-benar menghayati agama. Syukur, Alhamdulillah!
“Mata Kak Nur merah..” perlahan Aliff bersuara sambil membetulkan duduknya. Mata Alif masih tepat memandang wajahnya. Nur tertunduk, rasa malu menebal. “Alif faham apa yang kak Nur rasa, Aliff  tahu apa yang terbuku di hati Kak Nur. Kegagalan adalah satu situasi terburuk bagi orang yang selalu cemerlang. Malu berhadapan dengan orang sekeliling, dan tertekan. Tapi, Alif percaya Kak Nur Aliff ni lagi kuat semangat dari Aliff bila berdepan dengan ujian. Keluarga kita selalu diuji oleh Allah dengan pelbagai dugaan tapi, Aliff kagum, Kak Nur tak pernah mengeluh. Kak Nur banyak mewarisi sabar ibu, Aliff percaya kak Nur kuat. Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya, Kak Nur. Allah sedang berbicara melalui ujian yang Kak Nur tempuh. Allah berfirman,janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.Boleh jadi kak Nur membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi Kak Nur.Allah mengetahui sedang kita tidak mengetahuinya, kak,”
Seketika dia terkesima dengan kata-kata Aliff sebentar tadi. Penuh makna dan menusuk qalbu. “Ampunkah ya Rahman, apa aku tergolong dalam orang yang tidak redha dan mensyukuri apa yang kau beri...Ampuni aku,”
“ Terima kasih Liff, akak bertuah miliki adik macam Aliff. Semoga Allah merahmatimu selalu, adikku,”
Sisa-sisa air mata dilap perlahan-lahan. Senyuman diukir tanda dia redha, dan saat itu air mata mula kering perlahan-lahan, tanpa meminta dirembes lagi.
“Memang benar, Allah sedang ingin menguji dan sekaligus mengajarku. Aku harus jadi setabah ibu,” Yang pasti, dia takkan menangis lagi di depan ibu. Tak mahu rasanya lagi dia melihat ibu menangis kerananya.
“Ibu mana Liff?”
“Kat bilik Abang Hafez. Tengah suap bubur agaknya,”
 Adik kandungnya, Hafez, berusia 16 tahun, mengalami kecacatan otak sejak lahir yang menyebabkan dia sukar menggerakkan anggota badan dan hanya mampu terbaring.Dalam istilah perubatan yang dipelajarinya kini, keadaan Hafez dipanggil Cerebral Palsy. Kerap juga Hafez dimasukkan ke hospital, kerana senang menghidap demam dan jangkitan pernafasan. Ibulah yang menjaganya sejak kecil lagi. Hari-hari ibu memandikan, menyuap nasi, mengangkat dan membaringkan Hafez. Dia cuba membayangkan, selama dua puluh tahun ibu melakukan kerja yang sama pada setiap hari. Sungguh, ibu tidak pernah mengeluh. Tidak pernah mengadu penat dalam menjaga anaknya yang kurang upaya itu. Terdetik di hatinya, belum pernah ditemui insan semulia ibu. Saat Kelahiran Hafez benar-benar menguji ibu. Dia masih ingat, betapa sabarnya ibu menerima takdir saat ditinggalkan ayah. Ya, ayahnya meninggalkan mereka kerana tidak dapat menerima hakikat kelahiran anak cacat seperti Hafez. Ibu selepas itu bekerja demi membesarkan dia dan adiknya. Perit jerih ibunya itu benar-benar dirasa, sehinggalah ibu berkahwin dengan arwah ayah tirinya, seorang duda iaitu ayah kepada Aliff, Aliyah dan Aisya.
 Bunyi derapan papan usang tangga rumahnya menghentikan lamunan fikirnya. Aisya, adiknya yang bongsu yang berusia 6 tahun muncul dengan wajah yang suram. Aliff mula bergerak ke tangga, seperti biasa, mahu menyakat adiknya.
“ Aik, takde salam, takde apa terus masuk... buat la macam tu nanti setan ikut sekali dengan dia,”
“Ala abang ni...”. Aliff ketawa terkekek-kekek.
Aisya mendekati ibu saat ibu keluar dari kamar Hafez. Bagai ada sesuatu yang ingin diberitahunya. Ibu hanya tersenyum melihatnya.
“ Kenapa monyok ni sayang?,”ibu cuba menyelongkar kerisauan adik bongsunya yang manja itu. Nur hanya memerhatikan sahaja gaya manja Aisya memeluk ibu.
“Ibu, esok Aisya ta nak lagi pergi belajar kat tadika... tadi kan, semua orang ejek Aisya beg Aisya koyak,buruk, ...Ramai tak nak kawan dengan Aisya,”
Ibu menggeleng kepala dan senyum. “Aisya ingat tak cerita yang ibu ceritakan dua hari lepas pada Aisya?”
“Pasal Rasulullah ye?,”
“Hmm... pandai. Aisya ingat kan masa Rasulullah diejek, dibaling batu, sebab orang tak suka dia sebarkan Islam, Rasulullah sabar saja, dan menyebarkan Islam juga selepas itu, dan Allah berikan kejayaan akhirnya pada umat Islam. Sekarang ni, ada tak orang baling batu bila Aisya pegi sekolah?,”
Aisya menggelengkan kepala.
“Sebab itu Aisya tak perlu sedih, mengalah, dan taknak pergi sekolah .Sabarlah Aisya, orang Islam kena kuat, kena sabar, baru Allah sayang, dan Aisya pergi tadika sebab nak berjaya juga kan. Esok pergi tadika ya. Nanti, kalau ujian Aisya nanti dapat nombor satu, ibu beli beg baru untuk Aisya ya ,”
“Nak..Nak.. terima kasih ibu..,”
“Dah..dah pergi mandi, pastu nak ngaji pulak,”
Aisya berlalu pergi. Saat terdengar perbualan ibu bersama adiknya tadi, air matanya hampir menitis. Ibu selalu menenangkan kami melalui kisah-kisah teladan yang ibu tahu. Begitulah ibu, walau ilmunya tidaklah tinggi, ibu bijak membelai emosi.Tanpa dia sedar, nasihat ibu pada Aisya tadi sebenarnya membekas pada dirinya sendiri.
“Ya Allah, sedangkan kekasihMu Rasulullah begitu hebat diuji.. apakah terlalu lekas untuk aku menangis mengutuk diri kerana ujian yang sedikit cuma ini? Ibu malah lebih hebat diuji dariku, nyatanya aku masih belum setabah ibu. Oleh itu, jiwa yang bernama Nur Humaira, bangkitlah dan berusaha!”
*************************************************************************************
Jauh dilemparkan pandangannya ke luar tingkap, sambil fikirannya masih memikirkan strategi. Ya, strategi, agar dia tidak ulangi kegagalan lagi. Tiada alasan untuk dirinya gagal saat dirinya hanya menanggung sedikit beban tugas arwah ayah tirinya, getus hatinya. Salah dirinya sendiri mengabaikan sedikit pelajaran kerana memfokuskan pada jualan tudung. Sejujurnya perniagaannya kian mendapat permintaan rakan-rakan memandangkan tudung kujual jauh lebih murah berbanding di pasaran. Ditambah pula jualan yang kubuat sambilan di internet, sememangnya benar-benar menguntungkan. Pernah rakannya, Asyikin menegurnya, sama ada dia mahu menjadi doctor atau businesswoman, tetapi pada kotak fikirannya cuma tentang satu, membantu mengurangkan beban ibu.
“Ibu jangan risau sangat, duit biasiswa Nur banyak lagi. Tambah pula Nur ada jual tudung sikit-sikit kan,.. cukup untuk belanja Nur bulan-bulan,”itulah yang sering dia katakan, cuba meyakinkan ibu untuk menerima wang daripadanya. Nur tahu, ibu terasa berat menerima, kerana dia masih lagi belajar. Biasiswa yang diterima sememangnya banyak untuk dirinya, kerana buku-buku perubatan sememangnya mahal. Tetapi,untuk masa sekarang, kesempitan ibu dan adik-adik harus diutamakan, dan dia pula meminjam atau hanya fotostat sahaja buku dari rakan-rakan.
Sejak kehilangan arwah ayah, seorang pengusaha padi disebabkan kemalangan jalan raya tahun lalu, keluarganya benar-benar dirundung kesempitan. Dengan keadaan ibu yang tidak bekerja,  ditambah sering lelah disebabkan asma, ibu hanya mampu duduk di rumah, kini mengambil tempahan kuih dan jahitan tangan yang  dia kira tidak seberapa jika dibandingkan dengan keperluan persekolahan adik-adik dan perubatan Hafez. Hafez kerap dimasukkan ke hospital, kerana senang menghidap demam dan jangkitan pernafasan. Biayaan perubatan sememangnya ditanggung oleh kerajaan kerana Hafez juga memiilki kad OKU. Namun, perbelanjaan terapi, dan teksi ulang alik, kadangkala memakan jumlah wang yang banyak. Belanja persekolahan Aliyah dan Aliff, adik-adik tirinya di sekolah menengah dikira tidak cukup walaupun dengan wang bantuan dari pihak sekolah. Ditambah pula dengan Aisyah, adik Nur yang bongsu kini sudah memasuki alam persekolahan. Dia tahu, ibu dalam keadaan yang sangat terbeban.
Pernah Nur suarakan pada ibunya, untuk berhenti belajar namun dibantah keras. Lalu, sebagai jalan keluar demi membantu ibu, dia telah mengusahakan jualan tudung di samping meneruskan pelajaran. Ibu mahu benar dia menjadi seorang doctor, berbakti pada masyarakat, keluarga dan agama.
“ Ibu akan tunggu Nur rawat Hafez, rawat ibu. Sebab tu ibu nak Nur jadi doctor,” . Dia hanya tersenyum memandang ibu. Besar sungguh harapan ibu padanya. Ibu memang mempunyai asma sejak dulu, tetapi tidak terlalu teruk. Selalunya, Aliff akan menemaninya ke hospital untuk follow up disebabkan Nur selalu berjauhan di universiti.
“Insyaallah bu, ibu tunggu Nur ye,”.
Teringat dengan setiap bait kata-kata ibu, hatinya seolah-olah dipenuhi semangat baru yang berkobar-kobar. Bagaikan bateri dicas semula, dia berjanji menebus kegagalannya!
“Ibu, anak ibu takkan pernah mengalah dengan ujian bu, Nur akan belajar bersungguh-sungguh, Nur janji,”
************************************************************************************
Hari ini hari penuh rasa bahagia, sehinggakan dirasakan matahari juga turut senyum padanya.
“Bagi penerima anugerah diraja 2010, diumumkan Nur Humaira binti Hussein, dari Fakulti Perubatan. Penerima telah mencapai tahap cemerlang atau ‘distinction’ di dalam dua subjek utama, iaitu Medicine dan Obstetric & Gynaecology. Selain itu, beliau juga...,”Biodata peribadinya mula bergema didengar seluruh dewan.
Serta merta air matanya mengalir keluar. Hari ini ibu datang melihat hari kegemilangannya, iaitu Hari Konvokesyen yang bersejarah untuknya. Nur tahu ibunya tidak sihat, tetapi digagahkan jua untuk datang untuk menyaksikan hari penuh makna untuknya. Aisya, dan Aliyah tidak dapat datang memandangkan mereka bersekolah. Jadi, cuma Ibu dan Aliff yang datang. Dipandang muka ibu yang berada di barisan hadapan bersama Aliff.
“Ibu, ini hadiah Nur untuk ibu,..ibu. Ibu pandanglah Nur, bu,”.
Ibu masih tidak memandangnya.Dilihat ibunya kelihatan tertidur.
Ibu kenapa ibu tidur, bangunlah bu.Desis hatinya. Langkahnya yang perlahan menuju naik ke pentas kini terhenti di tengah jalan. Matanya benar-benar tertancap pada wajah ibunya. Kelihatan raut wajah Aliff benar-benar panik. Ibu terkulai layu di kerusi, dan akhirnya tersungkur di pelukan Aliff....
“Ibu!!!,” Jeritnya sekuat hati tanpa menghiraukan keadaan. Langkahannya bukan lagi menuju menerima gulungan ijazah yang sedang menunggu. Tetapi, kepada ibu yang tercinta. Suasana jadi hingar-bingar. Laju dia berlari ke arah Aliff dan ibu. Dakapan eratnya pada ibu seolah-olah tidak dapat dilepaskan. Yang pasti, tiada lagi denyutan nadi atau nafas lagi. Tiada lagi!
Innalillahi wainna ilaihi ro ji’un...
*************************************************************************************
Perlahan kaki mereka melangkah pergi. Semakin jauh meninggalkan pusara ibu tercinta, semakin hati kian sebak. Hari ini Hafez yang tidak pernah tahu apa-apa juga menangis syahdu akan kepergian ibu. Aliyah dan Aisya, dilihatnya masih menangis tanpa henti, kehilangan ibu kedua mereka.
“Adik-adikku, usahlah kau ratapi pemergian ibu. Sesungguhnya kakakmu ini insan yang paling sedih. Ibu meninggal tanpa sempat melihat kakakmu ini berbakti padanya. Ibu pergi tanpa kakak tahu ibu sudah lama lelah menghidap lemah jantung. Ibu pergi tanpa kakakmu ini sempat merawatnya,”
 Kata-kata Aliff benar-benar membuatkan hatinya hiba. Sejak akhir-akhir ini, ibu sering mengalami lelah dan semput. Bila dipujuk ke hospital, ibu menolak dan katanya dia masih sihat. Ibu sentiasa mahu menunggunya habis belajar, dan ingin mendapat rawatan dari anaknya sendiri. Ibu menunggu saat anaknya ini bergelar seorang doktor!
“Bukankah aku yang harus lebih bersedih adik-adikku,”Hati Nur Humaira hanya mampu merintih sendirian. Tidak mahu dizahirkan lagi rasa sedihnya. Telah menjadi suratan takdir Allah, ibunya pergi sebelum dia mencurahkan bakti.
Dari ibu, terlalu banyak dia pelajari erti sabar dan semangat. Bukankah ibu telah meninggalkan ‘mutiara sabar’ itu padanya? Ya Allah, sesungguhnya Engkau menjadi saksi, dia ibu yang mulia yang penuh dengan kesabaran. Rahmati dan tempatkanlah dia di kalangan mereka yang soleh solehah!Ameen,”

Ibu,
Sesungguhnya sinar ibu takkan pernah sirna,
Memancar cahaya cinta selamanya utk kami semua,
Walau terpisah dek jarak tak terkesampaian,
Tetapi mampu membenihkan semangat  di jiwa yang luka.

Ibu,
Cahayamu gah sekali,
Ibarat tiada lelah, agar kami teladani,
Engkaulah  sumber kehidupan kami,
Kerana kau matahari.

Dedikasi untuk ibu tercinta, dari anakmu,
Dr Nur Humaira

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KITA SEHATi

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes