"Aku masih mencari Dia, dalam pencarian diriku,
Aku mahu mengenali Dia, dalam manifestasi cintaku.
Aku paksikan rindukan Dia, sebagai bukti Dia syurgaku.
Pada Dia Yang Satu, hidupku matiku hanya untukMu".
-LayyinulQalbie-

Monday, January 24, 2011

YES, I'M A MUSLIM, BUT NOT CONGENITALLY ISLAMIC!

PadaMu Tuhan, kusujud dan kumulakan kata dengan lafaz
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Terima kasih kerana masih mengunjungi heart chamber saya yang tak seberapa informatif ini, dan terima kasih kerana anda masih 'bertahan' membaca post-post di sini. Sungguh, anda membaca karya yang orangnya masih merangkak, bertatih, dalam pencarian dirinya, 'mencari' Penciptanya yang dia selalu merasakan sebenarnya Allah selalu hampir. Cuma kerana ilmu di dadanya masih terlalu cetek, kerana dia masih mengejar dan mengutip kurniaan ilmu demi mengenal TuhanNya. Tak lupa juga untuk mengamalkan apa yang dipelajarinya..Ameen, mudah-mudahan, dia istiqamah selalu.

Kerana apa perlunya istiqamah? Kerana saya mahu Dia menyukai saya dan selalu nampak saya, walau terkadang saya terlupa dan alpa lalu meyakitiNya. Allahu Allah, terlalu banyak kurniaanNya, tanpa Dia mengira kebaikan saya padaNya. Sungguh, Dia terlalu..terlalu Maha Pemurah segala. 

Mungkin ada tertanya,  kenapa saya menulis gaya 'second person' begini... bukan lagi genre cerpen picisan, yang saya wujudkan dan hidupkan wataknya dalam ilusi saya. Ini mungkin post terakhir saya sebelum saya ke 'Accident & Emergency' posting, yang saya tahu, saya mungkin kurang menjenguk ke heart chamber saya kelak. Lantas sebelum itu saya mahu meminta maaf, andai saya kurang mampu berkunjung ke teratak anda semua. Sekalung kemaafan dari saya, untuk semua follower/ bloggers. Tambah pula, demam yang saya alami kini, benar-benar mengganggu, dan saya tak mampu mengeluarkan 'ayat-ayat' cinta dari 'otak medic' dalam menyudahkan penceritaan cerpen saya. Doakan ya, mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa semalam saya, sebagai kaffarah atas perbuatan saya yang menyakitiNya. Alhamdulillah, Dia masih menyayangi saya, mengingatkan saya tentang panasnya bahang api neraka. Ya, kepanasan demam sebahagian dari kepanasan api neraka.

Suatu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a dari Nabi S.A.W, bersabda yang maksudnya :
"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air". -Hadith riwayat Muslim-

Dalam sebuah kitab, maaf saya terlupa (kalau tak salah, dari Prophet Medicine yang pernah saya baca), menyebutkan bahawa panas dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam dengan sebab yang tertentu agar kita mengambil iktibar daripadanya. Hari ini, Allah benar-benar mahu mengingatkan saya tentang api nerakanya. Lebih dari itu, Alhamdulillah, Allah mendatangkan demam pada saya sebagai penebus dosa-dosa yang lalu, sudah pasti menguntungkan buat saya, seorang hamba yang hina ini.



Sambil berbaring, ingatan saya terimbau pada suatu saat ketika dulu. Ketika saya tidak pernah merasai nikmat disayangiNya membelai jiwa saya, walaupun saya tahu Allah datangkan segala-galanya pada saya. Saya hanya tahu 'kewujudan Allah' di dalam solat, dan puasa saya. Pada saya, itu sudah cukup menjadikan saya seorang Muslim, asalkan saya tidak melakukan kejahatan. Saya mudah mengeluh terhadap apa yang saya tidak dapat atau atas ketiadaan sesuatu. Sikap terlalu manja ini, mungkin terlahir dari sifat saya seorang anak bongsu.

Nostalgia ini mengembalikan kenangan sewaktu saya tidak memahami erti aurat dahulu. Cukuplah bertutup kepala, itulah budaya kita, yang kadang-kadang membukanya sekali-sekala pun tak mengapa.Apabila saya kini menyarungkan tudung labuh di kepala, di hadapan cermin, saya pasti teringat saat ketika bencinya saya pada tudung labuh. Dalam keluarga terdekat saya sememangnya tiada yang bertudung labuh, sehingga dalam fikiran saya terlahir persepsi kurang senang, bahawa mereka jumud, konsevatif, terkebelakang, dan perkataan-perkataan lain yang menghampiri maksud yang sama. Betapa saya mengagungkan orang yang tidak bertudung, terutama bila menonton di kaca tv, sehingga saya merasakan apabila saya besar nanti, saya juga tak mahu bertudung!

Entah kenapa, saya cukup tidak suka orang bertudung labuh.Saya mengelak untuk memohon ke UIA, seperti disarankan oleh seorang pakcik saya, atas alasan (dalam hati) saya sebolehnya tak nak terlalu 'agamawan', terutama bertudung labuh. Betapa beratnya, mengamalkan agama untuk saya ketika itu, jika dibandingkan bercouple, menonton wayang, dsb. 

Itulah dua jalan pilihan yang diberikan ke pada manusia sebagaimana dinukilkan,

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda : “Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat.” – Hadith riwayat. Bukhari dan Muslim.

Ya, sebagaimana dinyatakan, jalan ke syurga itu penuh dengan liku, onak duri, yakni sememangnya dijanjikan dengan kesakitan, tangisan dan bermacam-macam lagi kedukaan. Namun, dalam kebersamaan rasa duka itu, terselit sebuah ketenangan yang mendamaikan jiwa. Berbanding, jalan neraka itu pula, ia dijanjikan dengan pelbagai kesenangan duniawi yang menepati citarasa si syahwat,terlupakan akhirat, dalam hilai tawa yang mengasyikkan. Namun, bersamanya, sebenarnya tersimpan kegelisahan dan keresahan yang akan mendiami hati sang empunya diri.



Mujur, saya punyai hati yang lembut, dan Allah tidak pula mengeraskan hati saya ini.Allah menyapa saya melalui tarbiyah sehingga menusuk ke hati. Allah kurniakan di sekeliling saya, rakan yang membimbing, dan memimpin tangan saya, walau pada mula saya terasa berat untuk mengikutinya. Allahu Allah, sayangNya Dia pada saya, sehingga saya tidak mampu membayar dengan air mata kesyukuran saya. Alhamdulillah, Allah datangkan keikhlasan pada jiwa saya, atas dasar mencintaiNya. Seringkali, saya terasa malu padaNya apabila diuji. Pantaskah saya mengeluh, setelah nikmat terbesar, keimanan dan cintaNya yang diberi??

Kerana cintaNya, saya kuatkan diri untuk bangkit, untuk memutuskan hubungan percintaan monyet, sehingga benar-benar dikutuk oleh sang lelaki, yang pada suatu ketika dulu menyintai saya. Kerana cintaNya, saya berusaha segala apa yang saya lakukan adalah keranaNya ya Rab.Kerana cintaNya, saya cuba menutup sebaiknya aurat saya, walau saya ditentang pada mulanya. Ya, Allah mendatangkan rasa cinta saya yang sangat-sangat pada tudung labuh, pada seluruh syariatNya. Kerana cintaNya, saya bukan lagi ingin berjaya untuk diri saya, lantas diniatkan untuk berbakti pada ummah, dan menjadi mukmin professional di dunia dan di akhirat sana... kerana mencintaiNya, saya akan selalu terharu, dan saya mahu sentiasa dikurniaan perasaan terharu dan cinta ini hanya untukNya.

Melihatkan, dari luaran saya, ada yang mengatakan " Takpe la dia, dia dari keluarga beragama," atau "Dia dari sekolah agama," .. Ketahui saya bukan dari kedua-duanya seperti anda fikirkan.

"Yes, I'm  a Muslim, but I'm not congenitally Islamic," 
(Ya, saya seorang Muslim, tapi saya bukan Islamik sejak kecil) 

Saya disapa tarbiyah dengan kehendak Allah, kemudian saya berusaha untuk mencariNya. Saya mencari dan akan terus mencari, dengan mengenal Dia melalui ilmu tentangNya.

Sahabat tercinta yang hampir denganku, andai hidayah menyapa, janganlah bertangguh untuk berubah, kerana dikhuatiri ia tidak akan datang lagi.Aku memahamimu sahabat, kerana aku pernah berada di tempatmu..oleh itu, aku akan selalu dekat denganmu, akan selalu bersahabat denganmu, kerana aku mahu kita berpimpinan ke syurga.
  Saya sangat sukakan kata-kata Hilal Asyraf melalui novelnya, Sinergi.
 
~Hatta kalau kau terjun ke neraka, aku akan terjun bersama untuk menarik kau naik semula dan berjalan beriringan ke syurga.~ 


 Hebatnya ukhuwah yang saya kenal melalui tarbiyah ini...Subhanallah!

Pembaca sekalian, rasa syukur saya panjatkan kerana mengenali anda semua, rakan bloggers/ILI yang rata-ratanya punya ilmu agama yang sangat baik secara tidak langsung, mendidik dan mengingatkan saya, tentang Dia, Dia Yang Berkuasa dan Memiliki Segalanya. Saya pernah menangis, kerana terlalu gembira mengenali antara kalian, atas kesyukuran kerana Allah mempertemukan kita .Subhanallah, semoga persahabatan kita mendapat naungan Allah s.w.t, dan membawa kita ke syurga. Ameen..

Titipan kerinduan untuk semua, dan Salam Selembut Hatiku, 
Assalamualaikum..
~Layyinul Qalbie~






Monday, January 17, 2011

YANG TERTUTUP ITU TERINDAH


Matahari yang tadi malu untuk keluar dari persembunyiannya semakin berani menyimbah keperangan cahayanya. Dia mengerling jam di pergelangan tangannya. Pukul 12.05 tengah hari. Sambil memerhatikan kereta lalu lalang di hadapannya, tangan kanannya memegang erat tangan si gadis kecil di sisinya.

“Ummi, ummi tak panas ke?,” keluh si gadis kecil, sambil mengipas-ngipas dengan tudungnya.

Huda hanya tersenyum, melihat wajah anak gadis kesayangannya.  Dia tidak segera menjawab. Mata anak gadis itu mengecil, disebabkan panahan silau matahari yang hangat menyimbah mukanya.

Nisa Qasrina. Itu nama puteri kesayangannya. Berusia 9 tahun, semakin bijak dengan setiap tutur katanya. Melihat ibunya bertudung labuh, berjubah dan berstoking, dalam keadaan panas terik si matahari itu menimbulkan tanda tanya padanya.

Sememang hari itu cuaca agak panas. Sengaja dia berjalan menuju ke jalan utama, menunggu suaminya, untuk menjemput mereka berdua memandang trafik yang sangat sesak di hujung minggu, memungkinkan suaminya sukar untuk menjemputnya di dalam. Memandangkan kereta yang selalu dipandunya rosak,  suaminya, Hadi menghantar Nisa dan dia ke One Utama sebelum, suaminya ke suatu tempat atas suatu urusan.

Mereka baru sahaja keluar dari pusat beli-belah One Utama,  setelah membeli kasut  dan sedikit barang keperluan untuk Nisa Qasrina. Nisa Qasrina dipimpinnya, dibawa ke suatu bangunan berbumbung hampir dengan jalan utama untuk berteduh, memandangkan kereta dipandu Hadi belum jua kelihatan. Segera mereka melabuhkan punggung, di suatu tempat duduk yang agak selesa, berhampiran jalanan.

“Ummi, ummi..tengok tu..cantik la rambut dia ummi, nanti kakak nak rambut macam dia jugak ummi,”
Dia tersenyum melihat anak gadis tunggal kesayangannya.  Leka dia memerhati, seorang perempuan Melayu berambut ikal panjang  yang berjalan melepasi hadapan mereka.
“Kakak, ummi tanya kakak soalan, ye?”
“Kakak rasa, mana panas, pakai tudung ke tak pakai tudung,?”
“Mestilah yang tak pakai tudung,”
“Sebab?”
“Sebab kalau tak pakai tudung, kena angin, pastu sejuklah,”
“Kalau takde angin?,”
“Tak sejuk,” Huda tergelak kecil mendengar jawapan gadis kecilnya.
“Jadi lebih kurang sama je lah orang pakai tudung,”. Sememangnya begitu, berada di Malaysia, yang beriklim khatulistiwa ini, tiadalah banyak bezanya. Apatah lagi, kalau tinggal di kawasan yang selalunya bermusim sejuk, ini sudah tentu bukan alasan yang tepat.
“Okey, mana best,  kalau waktu panas, kereta  ada bumbung ke takde bumbung?,”
“Ada bumbung la best , mi,”
“Sebab?,”
“sebab tak kena panas,”
“ jadi, pakai tudung lagi best lah, sebab kurang kena cahaya matahari terus kat kepala kita, kan”
“A’ah la ummi,”

Dan,sesungguhnya, kepanasan di padang mahsyar lebih mengatasi segala, wahai anakku!Desis hatinya. Akan difahamkan kepada anaknya kelak, apabila dia meningkat remaja.  Apa yang penting, dia mahu anak berumur 9 tahun itu faham, akan cantiknya syariat Allah itu.

“Semua yang berharga dan istimewa, Allah cipta Allah tutup ia dengan sempurna.  Hari tu, kita tengok National Geography kan, macam mana Allah cipta mutiara di dalam cangkerangnya, macam mana Allah cipta permata yang diselaputi tanah di permukaannya. Dan, paling senang, kakak tengok, Allah cipta banyak buah yang berkulit, di mana ia melindungi isinya.  Isi buah itu kekal kelihatan cantik, dan bersih.  Begitu juga kita, disebabkan kita cantik dan istimewa, Allah menyuruh kita menutup aurat kita,”

“Tapi..kenapa je kita kena pakai tudung, ummi? Kenapa orang lelaki tak payah?” Pertanyaan demi pertanyaan mula bermain di minda Nisa Qasrina.

“Sebab aurat kita dan orang lelaki tak sama, sayang. Sebab Allah  cipta perempuan itu terlalu istimewa, kecantikan perempuan mampu menarik pandangan lelaki, itulah sebab Allah suruh tutup, dan orang yang berhak sahaja boleh melihatnya. Macam kakak, dengan abi, dengan adik Saiful, takpe la tak tutup rambut pun, sebab mereka ahli keluarga kita.  Tapi, kalau kakak tak tutup aurat depan lelaki luar, berdosalah..“


"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"..( Al-Ahzab,59 )



 “Ummi, kalau pakai tudung macam tu pun, takpe ke mi?” Nisa menunjukkan kea rah seorang wanita bertudung belit, singkat  gaya moden terkini, ranggi berseluar jeans, dan berbaju sendat yang tidak jauh dari situ.
“ Kakak sayang, dalam Al-Quran, Allah tidak suruh kita bertudung sahaja sebenarnya, kan? Allah menyuruh kita menutup aurat, menutup semuanya kecuali tapak tangan dan muka,”


Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya KECUALI kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. (An-Nur : 31)



"Niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." [Al-Ahzab : 71]


 “Maksudnya kakak, bukanlah sekadar tutup permukaan sahaja, tetapi longgar, dan tak jarang..itulah pakaian isteri nabi kita, dan itulah yang disukai Allah  dan nabi. Allah dah pun berjanji dalam Quran, siapa yang taat Allah dan rasul, pasti dapat kemenangan yang besar, ,”
“Jadi, kakak sayang Allah tak? Sayang nabi?,"
“Sayang,”
“Kalau sayang, sebab itulah kena patuh betul-betul pada setiap suruhannya,  kena berakhlak baik,  serta tinggalkan semua yang Allah tak suka, barulah dapat ganjaran istimewa dari Allah nanti.Sekarang, kakak dah faham?,”
“Dah, ummi..,”
“Alhamdulillah.. anak ummi, kan anak yang solehah,”

Huda tersenyum bahagia. Dia mahu, anaknya, bukan sahaja mengikut seperti apa yang dilakukan ibunya, yakni menutup aurat, tetapi, dia mahu anak gadisnya itu memahami erti dan hikmah syariat Allah itu. Dia tidak mahu, anaknya bertudung sekadar trend, sekadar budaya. Dia hanya mahu anaknya bertudung kerana Allah semata-mata dari kecil lagi, bukanlah sekadar ikutan budaya. Berapa ramai yang bertudung tetapi tidak memahami hakikat menutup aurat, berlandaskan syariat, lantas menjerumuskan mereka ke lembah maksiat kerana niat tidak lagi disandarkan kepada Allah.Masa yang sungguhpun singkat itu, setidak-tidaknya terisi dengan hikmah untuk anak kesayangannya.

“Pin..pinn,’

Mereka hampir tidak perasan dengan kereta Honda City, di depan mereka. Hadi, kelihatan tenang menunggu isteri dan anak perempuannya. Di sisinya, hero lincah, Saiful Islam, berdiri  melambai ummi dan kakaknya sambil terlompat-lompat.

“Assalamualaikum..maaf abi, tak perasan abi dah sampai,”Huda membuka pintu kereta dan menyapa, sambil  mereka berdua cepat meluru masuk ke dalam perut kereta.
“Waalaikummussalam.Amboi, mesyuarat pasal apa tadi, sampai tak perasan ni?,”
“Mesyuarat pasal tudung, abi. Sekarang, Nisa dah faham, kenapa abi tak payah pakai tudung…,”
Umminya tergelak kecil.
“Kenapa?,” Hadi sengaja bertanya.
“Sebab abi tak cantik, macam kami,”
Lagi, Huda dan Hadi tergelak mendengar telatah anak perempuannya. Ya, anak-anak harapan yang semakin membesar dengan diikatkan Islam di dasar hati mereka. Itulah hendaknya, yang terisi dalam bait-bait doa mereka. Supaya mereka dimengertikan Islam di hati, lalu terpancarkan akhlak seorang  soleh dan solehah dari jiwa mereka.
Dalam hatinya, Huda bermonolog sendirian…

Ya, puteriku,
Kerana engkau cantik, ibarat permata
kerana engkau indah, ibarat kejora
lalu, bertutup sempurna itulah syariatNya kepadamu,
kerana Allah sangat sayang padamu,
kerana..yang tertutup itulah yang terindah,
dan kerana seindah hiasan, wanita solehah..

Saturday, January 1, 2011

TERLALU MEMIKIRKAN BAITUL MUSLIM, MELEMBIKKAN KITA?






Jom diskusi bersama saya, di KOMUNITI ILUVISLAM mengenai TERLALU MEMIKIRKAN BAITUL MUSLIM, MELEMBIKKAN KITA?

Benarkah?
salam alayk...jujur, saya tertarik untuk membincangkan hal ini, terutama sejak membacanya di Langit Illahi:

Perkongsian: Muslimah lembik sebab fikir Baitul Muslim?
"Ada yang mengemukakan kepada saya, pandangan bahawa ada yang menyatakan yang Muslimah pada zaman ini lembik kerana hanya tahu memikirkan Baitul Muslim. Dinyatakan bahawa, mereka ini hanya tahu membincangkan Baitul Muslim, tetapi tidak tahu membincangkan perjuangan ummah. Sebab itu mereka ini lembik.

Hem. Saya tertawa juga sebenarnya bila orang kemukakan begitu kepada saya.

Lembik, sebab fikir Baitul Muslim?

Tetapi apabila saya fikir-fikir kembali, baiklah, saya dapat. Ada kebenarannya dalam pandangan itu. Tinggal, pada saya, memanah pandangan itu secara umum sedemikian rupa adalah tidak kena sebenarnya. Sebab Baitul Muslim sebenarnya adalah isu yang amat penting di dalam pembinaan Daulah Islamiyyah, dan merupakan antara wasilah terpenting dalam memastikan kelansungan tarbiyah dalam kehidupan insan."..Hilal Asyraf



baca selanjutnya di LANGIT ILAHI: klik-> Perkongsian: Muslimah lembik sebab fikir Baitul Muslim?

saya harap anda membacanya sehingga habis, sebelum anda menyimpulkan konklusi. Ini bukanlah soal gender sebenarnya yang ingin diketengahkan, ia adalah soal bagaimana anda memahami konsep baitul muslim yang sepatutnya kita fahami.
Ya, saya akui sejak akhir-akhir saya kerap terbaca/ based on perbualan di kalangan muslimah, pemikiran selalunya terhad kepada :
-pencarian jodoh secara mengikut syarak
-solat iskharah dalam pemilihan
-menjadi pasangan yang baik,
-etc
(yang ini sudah kira bagus...alhamdulillah)
tapi,
ada additional values yang kita lupa untuk fikirkan,
-bahawa BAITUL MUSLIM itu asas terbinanya Islam sebagai daulah atau institusi yang menjadikan Islam itu rujukan alam.
Individu muslim - >rumah tangga muslim(Baitul Muslim) ->masyarakat muslim -> kerajaan muslim - >khilafah islam - empayar islam - > Islam sebagai ustaziatul alam
bermakna, baitul muslim itu tidak terhad kepada gerbang perkahwinan semata-mata.. ia adalah suatu perjalanan yang menuntut kita 'mencambahkan' benih-benih Islam ke dalam masyarakat, seterusnya menjadikan Islam sebagai institusi rujukan alam.

Hal ini saya simpulkan ya, ada benarnya. tapi mungkin segelintir saja ya?. Ya, terlalu memikirkan "dalam erti kata memikirkan dengan konsep salah' menjadikan kita 'lembik' ... sekiranya kita kita terlupa perjuangan ummah yang perlu diimplementasikan, demi menegakkan Islam sebagai yang terunggul..

Apa yang ingin saya ketengahkan, segelintir kita, terlalu memikirkan soal jodoh,.. sehingga terlupa bahawa kita, syabab dan fatayat penyambung rantai perjuangan ummat.. kita terlupa bahawa tanggungjawab' menggemilangkan' Islam terletak di punduk kita, yang harus kita gemilangkan kembali 'Abbasiyah' yg lenyap, melalui ilmu, kepakaran, kepimpinan,kerohanian, etc...
Jujur, saya bukanlah orang yang pandai dalam membicarakan tentang ini... sekadar cetusan dari minda... dan apa pula kata anda?  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KITA SEHATi

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes